Pembunuhan kejam selebriti, kepala ditemui di dalam sup

Pembunuhan kejam selebriti, kepala ditemui di dalam sup

 

KEMATIAN tragis model dan selebriti media sosial Hong Kong, Abby Choi menarik perhatian media di seluruh dunia.

Terbaharu, polis Hong Kong menemui kepala yang dipercayai milik mangsa dalam satu periuk sup di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, daerah Tai Po.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan kematian wanita malang berusia 28 tahun itu dipercayai ada kaitan dengan pertikaian antara Choi dan bekas suaminya, Alex Kwong serta keluarganya berhubung harta bernilai puluhan juta dolar.

Berikut kronologi pembunuhan Choi:

Awal Februari

– Bekas bapa mertua Choi, Kwong Kau dan bekas pegawai polis yang disyaki dalang pembunuhan itu menyewa sebuah rumah kampung di Lung Mei Tsuen.

24 Februari

– Polis menemui beberapa anggota badan dipercayai milik Choi di tingkat bawah rumah yang disewa suspek. Pegawai polis memaklumkan tempat berkenaan dijadikan tapak untuk memotong mayat sebelum ia dilupuskan.

– Polis turut menemui penggiling daging, gergaji elektrik serta dua periuk sup berisi tisu manusia. Selain itu, dua jenis pencincang, tukul, face shields, baju hujan hitam serta beg tangan berwarna ungu milik Choi.

– Kaki dipercayai milik mangsa ditemui dalam peti sejuk. Bagaimanapun, kepala tubuh dan tangan mangsa masih hilang ketika itu.

– Polis menahan bekas abang ipar Choi dan bekas ibu bapa mentua tetapi masih mengesan bekas suaminya.

25 Februari

– Bekas suami Choi, Alex ditahan di terminal feri di pantai barat laut Pulau Lantau pada Sabtu.

– Pihak berkuasa merampas wang tunai 500,000 dolar Hong Kong (kira-kira AS$63,700) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (AS$510,000).

26 Februari

– Lebih banyak bahagian badan disyaki milik Choi ditemui. Ia termasuk tengkorak dan beberapa tulang rusuk yang ditemui dalam periuk sup besar.

– Periuk sedalam 50 sentimeter (cm) itu didapati mengandungi daging dipercayai daging manusia bersama beberapa lobak merah, manakala tulang manusia ditemui dalam bekas berasingan yang lebih kecil.

27 Februari

– Empat suspek iaitu bekas suami, abang dan ibu bapa mentua Choi ditahan reman tanpa ikat jamin selepas dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas tuduhan membunuh dan menghalang proses keadilan.

– Kwong, 28, bapa mentua Kwong Kau, 65, dan abang Anthony Kwong Kong-kit, 31, didakwa membunuh Choi pada 21 Februari, manakala ibunya, Jenny Li Sui-heung, 63, dituduh menghalang proses keadilan.

– Suspek kelima, seorang wanita 47 tahun bernama Ng, telah ditahan berhubung kes itu namun masih belum didakwa.

28 Februari

– Bekas bapa mentua Choi dinamakan sebagai pemilik pangsapuri yang diberi subsidi oleh kerajaan bernilai lebih HK$2.2 juta (RM1.25 juta).

– Kwong Kau, seorang bekas pegawai polis, juga didapati telah membeli sebuah kediaman mewah di Bukit Kadoorie bernilai HK$73 juta (RM41.58 juta) pada 2019.