Pemimpin Bersatu keluar ‘fatwa’ dapat pahala keluar Umno

Pemimpin Bersatu keluar ‘fatwa’ dapat pahala keluar Umno

AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid percaya keputusan meninggalkan Umno pada 2018 membolehkannya menerima pahala.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, ganjaran itu bakal diperoleh menerusi ibadahnya keluar daripada ‘dosa’.

“Apabila meninggalkan benda yang melibatkan dosa maka tentunya menjadi ibadah dan pahala kepada saya tetapi urusan pahala bukan kerja kita, sebaliknya ditentukan Allah.

“Namun, saya harap apa yang dibuat ini adalah ibadah,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Batu Hampar, Manir di Kuala Terengganu, hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meninggalkan Umno dan menyertai gabungan dipimpinnya itu adalah satu bentuk ibadah.

Muhyiddin mendakwa, Umno memiliki kluster mahkamah sekali gus meminta rakyat tidak bersubahat dengan golongan itu.

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, persoalan tentang dosa sinonim dengan Umno susulan segelintir kepemimpinannya yang terpalit dengan isu ‘kluster mahkamah’, kleptokrat dan lain-lain lagi.