Pemimpin Pas ‘bergaduh’, masing-masing tuding jari isu pecat Khairuddin

Pemimpin Pas ‘bergaduh’, masing-masing tuding jari isu pecat Khairuddin

PAS menafikan pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat ada kaitan dengan status kedudukan terkini Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perubahan yang berlaku itu adalah perkara biasa dan bukanlah isu hangat.

Katanya, pengguguran Mohd Khairuddin adalah bagi melantik individu lain yang mempunyai kepentingan dalam konteks jawatankuasa parti berkenaan.

“Khairuddin dicadang dilantik (semula) oleh Presiden (Abdul Hadi Awang) dan kemudian Presiden tarik balik cadangan itu kerana selepas kita mesyuarat, Presiden ada cadangan nama lain dan beliau (Mohd Khairuddin) digugurkan.

“Jadi tidak ada kaitan dengan MN, ini masalah dalaman parti, tak ada isu sangat. Mohd Khairuddin juga masih kekal cuma tidak dalam AJK PAS Pusat, ada program-program lain yang diuruskannya,” katanya, menurut laporan Mingguan Malaysia.

Baru-baru ini Abdul Hadi mengesahkan Mohd Khairuddin bukan lagi AJK PAS pusat apabila digugur daripada jawatan berkenaan.

Menurut Abdul Hadi, pengguguran mana-mana pemimpin adalah lumrah dalam PAS sama ada diberhentikan atau ditukarkan.

Pada 23 November lalu, Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.