Pemimpin Pas marah! Hadi digelar jahanam

Pemimpin Pas marah! Hadi digelar jahanam

TINDAKAN seorang perwakilan Umno yang melabelkan kepimpinan PAS sebagai ‘tiga jahanam’ dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini disifatkan sebagai keterlaluan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelaran yang dilempar terhadap tiga pemimpin PAS oleh Umno Kelantan itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya menolak kenyataan tersebut (yang) saya anggap melampau, kita (sepatutnya) hormati hak parti-parti politik tak boleh kita label, kita letak istilah-istilah.

“Bagi saya itu hak parti PAS dan parti lain tak perlu campur, tak perlu kita label yang begitu yang saya rasa tidak begitu manis, budaya orang Melayu pun saya rasa tidak tepat,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Melaka, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman menegaskan Umno Kelantan menolak kerjasama dengan PAS selagi terdapat tiga pemimpin parti berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘Tiga Jahanam’ yang bermulut jahat.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan itu adalah Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.