Pemimpin PN ‘syok giler’ Pas sanggup pakai logo PN

Pemimpin PN ‘syok giler’ Pas sanggup pakai logo PN

 

KEPUTUSAN PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melegakan kepemimpinan Bersatu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata keputusan PAS itu diharap akan membawa kejayaan kepada PN dalam PRN tersebut yang dijadualkan 20 November ini.

“Alhamdulillah PAS memilih untuk terus memperkukuhkan wadah PN. Moga kejayaan milik PN dalam PRN Melaka ini,” katanya yang juga Pengerusi PN Melaka hari ini, menurut laporan Malaysiapost.

Sementara itu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut melahirkan rasa syukur susulan perkembangan tersebut.

“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas di Facebook sambil berkongsi kenyataan media Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu PAS membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Melaka.

Abdul Hadi berkata penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat malam tadi.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang semalam.

Pada 28 Oktober lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan Umno akan bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, dengan syarat parti itu menggunakan lambang sendiri.