Peminat kopi berisiko rendah untuk mati awal

Peminat kopi berisiko rendah untuk mati awal

Kopi merupakan minuman yang terhasil daripada benih biji kopi yang dipanggang menghasilkan suatu air berperisa pahit manis. Ia mempunyai kesan perangsang kepada peminumnya disebabkan kandungan kafien.

Hari ini, kopi adalah satu daripada minuman yang paling disukai di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Namun siapa menyangka, individu yang meminum kopi sama ada dengan gula atau tanpa gula mempunyai risiko kematian awal yang rendah.

Bagaimanapun, pakar mengingatkan penemuan itu mungkin bukan disebabkan oleh minuman itu sendiri.

Menurut The Guardian, Persatuan Kopi United Kingdom (UK) melaporkan, sebanyak 98 juta cawan kopi dianggarkan telah diminum setiap hari di UK manakala Persatuan Kopi Kebangsaan pula menyatakan sejumlah 517 juta cawan diminum di AS.

Kajian yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati bahawa minuman itu mungkin dapat memberi manfaat kepada kesihatan penggunanya.

Hal ini kerana mereka didapati kurang berisiko untuk menghidapi penyakit hati kronik yang mampu menjurus ke arah kanser mahupun demensia.

Risiko kematian yang lebih rendah dalam 7 tahun

Terbaharu, penyelidik di China telah mendapati bahawa individu yang meminum kopi secara sederhana mempunyai risiko kematian lebih rendah dalam tujuh tahun berbanding mereka yang tidak. Keputusan yang sama turut ditemui untuk kopi segera, dikisar dan tanpa kafein.

Kajian tersebut turut diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine adalah berdasarkan data yang diambil daripada lebih 171,000 perserta UK BioBank.

Mereka turut mengumpul maklumat genetik, gaya hidup dan kesihatan daripada 500,000 orang sejak tahun 2006, termasuk butiran peserta dan tabiat minum kopi.

Kumpulan itu menggunakan data melibatkan3,177 orang yang telah meninggal dunia untuk tempoh tujuh tahun dari 2009.

Selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti umur, jantina, etnik, tahap pendidikan, status merokok, jumlah aktiviti fizikal dan sebagainya. Mereka mendapati bahawa orang yang mengambil kopi tanpa gula mempunyai risiko kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak meminum kopi.

Risiko kematian 29% lebih rendah dilihat bagi mereka yang minum antara 2½ dan 4½ cawan sehari.

Risiko kematian yang rendah juga turut dapat dilihat bagi mereka yang minum kopi bersama gula, sekurang-kurangnya minum antara 1½ dan 3½ cawan sehari. Bagaimanapun, trend ini tidak jelas bagi mereka yang menggunakan pemanis tiruan.

Pemerhatian kajian masih belum muktamad

Naveed Sattar, seorang profesor perubatan metabolik di Universiti Glasgow yang tidak terlibat dalam kajian memberi amaran bahawa penemuan itu walaupun kedengaran menarik tetapi ia tetap tidak jelas.

“Sifat pemerhatian kajian baru ini bermakna kesimpulannya belum muktamad. Ini kerana peminum kopi pada umumnya daripada golongan kaya dan mempunyai kehidupan yang lebih sihat daripada bukan peminum kopi dan saya masih tidak yakin sama ada faktor ini boleh diatasi dalam pemerhatian kajian.”

Naveed Sattar

Menurutnya lagi, faktor genetic tidak mengaitkan kopi dengan sebarang manfaat kesihatan yang penting.