Pemuda AMANAH ‘sound’ Ramasamy, jaga mulut!

Pemuda AMANAH ‘sound’ Ramasamy, jaga mulut!

1. Merujuk kepada kenyataan Dr. P. Ramasamy di Facebook beliau pada 4 Disember 2022 yang dipetik beberapa portal utama negara, Pemuda AMANAH Nasional ingin mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah Kerajaan Perpaduan, bukan Kerajaan Pakatan Harapan. Oleh sebab itu, kabinet yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri menuntut proses dan juga pertimbangan yang berbeza dan lebih kompleks, bukan saja untuk memilih jemaah menteri yang representatif, cekap dan wibawa tetapi juga yang akan memberikan kestabilan kepada kerajaan.

2. Untuk mencapai maksud itu, kompromi terpaksa dibuat, pengorbanan dilakukan. Komposisi kabinet ini tidak ideal tapi mengambil kira semua faktor, ia adalah pilihan yang diharapkan mampu mewakili dan mengangkat harapan seluruh rakyat Malaysia.

3. Representasi setiap segmen masyarakat dalam kabinet adalah penting, baik representasi kaum, agama, gender, umur atau wilayah. Tetapi akhirnya yang paling utama adalah matlamat dan komitmen untuk menegakkan keadilan kepada semua, dan memenuhi hak serta kebajikan setiap warga tanpa mengira kaum dan agama, seperti mana yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri.

4. Sdra P. Ramasamy harus menekuni dan meneladani sifat jiwa besar dan pengorbanan pimpinan utama parti beliau DAP yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa syarat, demi kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara.

5. Sdra P. Ramasamy juga harus belajar dari pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, yang pimpinannya kerap kali dilihat berbeza pandangan di ruang terbuka, hingga diambil kesempatan oleh musuh politik.

6. Negara sedang berada dalam situasi politik yang tidak pernah kita alami. Ia memerlukan semua pimpinan dari setiap pakatan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini untuk meletakkan kepentingan negara di hadapan, dan lebih matang serta berhati-hati dalam setiap bicara dan pandangan.

Keutamaan sekarang adalah bekerja dan melaksanakan amanah, untuk rakyat dan negara.

RAZAK RIDZUAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional