Pemuda Pas Kedah bantah kerajaan yang dianggotai Pas membanyakkan judi

Pemuda Pas Kedah bantah kerajaan yang dianggotai Pas membanyakkan judi

PAS komited dalam isu judi walaupun keberadaannya kini bersama pentadbiran kerajaan, malah pendirian tegasnya berkaitan hal syariah menyebabkan parti ini dibenci dan ditentang pihak liberal, sekular serta politikus aliran pragmatisme.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, anggapan kononnya PAS tidak peka dengan isu judi di negara ini selepas berada dalam pentadbiran kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

“Pemuda PAS Kedah sendiri telah menegaskan bantahan terhadap pelaksanaan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali pada tahun lepas ke 22 kali pada tahun ini.

“Bantahan yang sama juga pernah disuarakan sebelum ini pada 2 Januari lalu dan inilah pendirian kami di Kedah, tiada kompromi dalam isu judi di negara ini,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harakah.

Menurutnya, cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian kepada kemelut ekonomi akibat pendemik Covid-19, malah ia jelas haram secara qat’ie (secara putus) dalam syarak selain boleh menambahkan lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

Justeru, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang membangkitkan isu ini di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun dalam masa yang sama, beliau mengharapkan perjuangan mempertahankan syariah bukan bermusim, sebaliknya perlu diperjuangkan bersama sepanjang masa sehingga syariah dijulang dan berada di tempat sewajarnya.

“Tugas memperjuangkan syariah ini adalah tanggungjawab semua khususnya umat Islam termasuk pemimpin politik tanpa mengira parti atau warna bendera,” tegasnya.

Katanya lagi, Pemuda PAS Kedah sehubungan itu menuntut pihak kerajaan agar lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dengan isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial di negara ini.

“Pandemik Covid-19 ialah ujian dan pengajaran daripada Allah. Jangan kita mengundang bala pula dengan kelunakan dalam isu judi ini,” ujarnya.