Penangan Squid Game, jualan kasut Vans meningkat 7,800%
Drama bersiri Korea yang ditayangkan di Netflix, Squid game benar-benar menjadi fenomena di seluruh dunia.
Mungkin disebabkan jalan ceritanya yang lain dari biasa dan tidak klise dibantu barisan pelakon yang begitu mantap, hampir apa sahaja yang diperkenalkan drama ini menjadi popular, antaranya permainan yang dimainkan mereka iaitu ‘Redlight, Greenlight’ dan juga gula-gula tradisional Korea, Dalgona Candy.
Bukan itu sahaja, kostum yang digunapakai didalamnya turut menjadi rebutan ramai. Jika baru-baru ini ramai menjangkakan uniform hijau yang digunakan pemain dan uniform sukan yang digunakan askar akan menjadi pilihan ramai menjelang Halloween, kini populariti kasut Vans Slip-on pula melonjak.
Ini kerana kasut berkenaan dilihat hampir sama dengan kasut yang disarung semua pemain didalam drama thriller berkenaan. Jadi mungkin ramai memilih untuk mendapatkan persalinan lengkap watak didalam Squid game sempena malam 31 Oktober itu.
Menurut laporan The Sole Supplier , sejak Squid game diperkenalkan jualan kasut Vans Slip-On ini telah melonjak sehingga 7,800%. Peningkatan yang begitu mendadak bukan?
Manakala portal Lyst Ingsight pula melaporkan carian di intenet mengenai pakaian yang mirip digunakan mereka juga meningkat iaitu 90% untuk uniform sukan hijau, 145% kasut putih , dan suit boiler merah yang digunakan askar (37%).
Buat anda yang tidak tahu, Vans Slip-on antara model kasut yang yang versatil dan sering menjadi kegemaran para skaters. Namun disebabkan rekabentuk yang selesa dipakai dan tidak terlalu menonjol, ianya sering menjadi pilihan penggemar fesyen kerana mudah dipadankan dengan gaya berbeza.