Pendedahan Eksklusif! Pegawai SPRM miliki dadah, senjata api positif dadah
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis pada Selasa lalu, untuk siasatan memiliki dadah, senjata api serta peluru didapati positif dadah.
Menurut sumber, pegawai suruhanjaya itu kini dilanjutkan reman dua hari sehingga Isnin selepas reman pertama empat hari tamat pada Sabtu.
“Berikutan tangkapan pegawai berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah merampas dadah jenis syabu seberat 4.50 gram dan sembilan biji pil eramin 5.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati pegawai terbabit positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.
“Siasatan awal dipercayai pegawai terbabit terlibat dengan penagihan berikutan ujian air kencing yang positif,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah sumber, setakat ini polis tidak ada mengesan terdapat pembabitan pegawai dan anggota lain dalam suruhanjaya itu dengan suspek berkenaan kes terbabit.
Katanya, siasatan juga masih dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut sekiranya suspek ada terlibat dengan pengedaran dadah.
Kata sumber lagi, kertas siasatan juga dijangka dirujuk kepada timbalan pendakwa raya esok untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.
“Siasatan masih dijalankan untuk tindakan lanjut JSJN,” ujarnya.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pegawai kanan SPRM pada Selasa, untuk siasatan memiliki dadah senjata api serta peluru.
Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bemula Selasa sehingga Ahad ini.
SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.
Dalam pada itu, sebuah portal berita melaporkan, siasatan SPRM ke atas tiga pegawai itu membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah yang semuanya dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
Harta disita ialah sebuah rumah di Selangor, dua motosikal jenis Ducati dan masing-masing sebuah kereta Mercedes Benz dan Honda Type R.
Rumah dan kenderaan tersebut dipercayai milik pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.