Penemuan balak di Hulu Telemong, kerajaan Pahang wajib jawab!
BEKAS Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad yang menjalankan misi mencari
punca sebenar becana ‘tsunami balak’ melanda Kampung Sri Telemong, Bentong baru-baru ini, mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.
Dalam satu artikel di laman Facebooknya, aktivis alam sekitar itu menjalankan misi menjejak ‘kepala air’ yang dilapor menjadi punca banjir lumpur bersama puing/sisa kayu seperti dimaklumkan pihak berkuasa.
Menurutnya, tinjauan di hulu Sungai Telemong hingga ke Jambatan Seri Telemong berhampiran Kuala Sungai Kerau mendapatnya menjadi tempat timbunan sisa kayu luar biasa yang tidak dapat dipastikan dari mana sebenarnya.
“Tinjauan ke hulu Sungai Kerau mendapati tidak banyak kesan kegelinciran tanah kecuali penerokaan hutan secara meluas bagi projek lot dusun dan rumah mewah ratusan hektar di The Valley serta kawasan sekitarnya bagi tujuan pertanian.
“Jadi saya mengesyaki timbunan sisa kayu ini dibawa arus deras limpahan air dari hulu Sungai Telemong yang bertembung dengan banjir lumpur dan sisa kayu penerokaan hutan dari hulu Sungai Kerau.
“Kemudian saya bergerak lagi ke arah hulu Sungai Telemong hingga ke kawasan pertembungan kuala Sungai Perdak dan Sungai Telemong, yang juga terdapat timbunan sisa kayu luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, di kawasan bukit di belakang Kampung Baru Sungai Perdak hingga Kampung Baru Telemong memang banyak kesan gelinciran tanah akibat pembukaan tanah milik dan penerokaan hutan secara haram bagi tanaman durian Musang King.
“Ketika membuat tinjauan di kawasan ini, seorang penduduk tempatan Telemong tiba-tiba mendekati saya dan memberitahu untuk meninjau ke arah belakang Pekan Telemong..di sana ada kawasan pembalakan baru kerja 200 ekar.
“Selepas menerbangkan dron di satu lokasi, saya ternampak timbunan kayu balak dari udara dan apabila ditinjau pula mengikut jalan darat, ternyata ada satu ‘matau’ atau tempat simpanan transit kayu balak.
“Pada pengamatan saya, berdasarkan terdapatnya saiz tongkol balak yang agak besar termasuk Meranti Bukit, saya percaya kayu-kayu ini ditebang dari puncak bukit hutan tadahan air yang sepatutnya menjadi penampan jika berlaku hujan lebat,” katanya.
Sementara itu, Khaidir berkata seorang pencari hasil hutan turut memberitahunya jarak kawasan pembalakan dari matau itu adalah kira-kira satu jam perjalanan mendaki bukit dengan motosikal atau lori balak.
“Pada mulanya saya bercadang untuk masuk ke kawasan penebangan balak di hutan berkenaan tetapi memandangkan cuaca semakin gelap dan awan mendung, maka saya terus berpatah balik ke Pekan Telemong.
“Persoalannya..adakah pembalakan ini juga ada kaitannya dengan ‘kepala air’ banjir lumpur luar biasa bersama sisa kayu yang melanda lembangan Sungai Telemong hingga ke Karak pada 18 dan 19 Disember 2021?” soalnya.
Sebelum ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam satu kenyataan mendapati tiada aktiviti pembalakan yang dikatakan punca longgokan kayu balak di Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.
Menurut JPNP semakan melalui udara menggunakan dron mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi berkenaan.