Penganalisis politik anggap BN menang besar kerana undi ATM

Penganalisis politik anggap BN menang besar kerana undi ATM

UNDIAN awal khususnya melibatkan tentera adalah antara faktor utama penyumbang kepada kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata selain itu, kredibiliti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga antara faktor BN mendapat undi dari tentera.

Katanya, imej Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan sangar positif kerana mempunyai rekod baik dalam pengurusan hal ehwal kebajikan anggota tentera.

“Faktor individu perlu diperakui menjadi faktor kemenangan dalam mana mana pilihan raya khususnya pilihan raya umum negeri dan ini memberi kelebihan pada BN kerana Hishamuddin adalah antara Menteri Pertahanan yang popular di kalangan anggota tentera.

“Kestabilan kerajaan adalah sebahagian dari aspek keselamatan negara maka anggota tentera juga menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang kuat.

“Ia terutamanya dalam aspek menstabilkan politik negara dengan mengundi gabungan yang boleh menjalankan tadbir urus sektoral dengan baik termasuk elemen pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemenangan BN juga sudah dijangka jika mengambil kira corak pengundian yang berlaku dalam PRN Melaka.

Semalam, PRN Johor menyaksikan kebangkitan BN selepas meraih 40 kerusi yang menyaksikan gabungan parti itu memperolehi majoriti lebih dua pertiga, manakala PN mendapat tiga kerusi, DAP sembilan dan Ikatan Demokratik Malaysia, Parti Amanah Negara dan PKR masing-masing satu kerusi.