Pengerusi PH kata PH perlu runding isu logo

Pengerusi PH kata PH perlu runding isu logo

Penggunaan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang perlu diselesaikan secara baik menerusi rundingan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau menghormati pandangan akar umbi yang menggesa hanya menggunakan logo PKR.

Katanya, namun dalam masa yang sama, terdapat juga gesaan daripada parti komponen untuk menggunakan logo PH.

“Kita perlu berunding secara baik kerana masing-masing ada hujah yang kuat,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam laporan sebuah portal, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan menggesa supaya logo dan bendera parti mereka digunakan calon PH yang bertanding pada PRU ke-15.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Presiden PKR berkata, parti tetap dengan pendirian untuk menonjolkan tokoh muda pada PRU nanti.

“Tetapi kini kita memfokuskan (orang muda) untuk menggerakkan jentera kerana pada hemat saya, mereka mempunyai kekuatan untuk memberi kefahaman mengapa perlu memilih PKR.

“Namun pada akhirnya nanti, calon terbaik yang akan dipilih,” katanya.