Pengutip besi buruk dibunuh, lelaki ini ke tali gantung

Pengutip besi buruk dibunuh, lelaki ini ke tali gantung

 

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang peniaga warung kerana membunuh seorang pengutip besi buruk di Terengganu, enam tahun lepas yang kisahnya tular di media sosial kononnya kejadian bunuh itu berlaku bagi mempertahankan diri.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan terakhir Mohamad Zulkifli Ismail, 56, selepas berpuas hati bahawa dapatan hakim Mahkamah Tinggi bergantung kepada keterangan yang relevan dan alasan penghakiman dikemukakan adalah lengkap dan teliti.

“Mahkamah berpendapat hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah dari segi undang-undang dan fakta dalam memberikan keputusan.

“Isu yang dibangkitkan oleh perayu (Mohamad Zulkifli) tidak mempunyai merit. Oleh itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak,” kata Ong yang turut bersidang bersama-sama Hakim Abdul Rahman Sebli dan Zabariah Mohd Yusof, lapor FMT.

Panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohamad Zulkifli dan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah.

Mohamad Zulkifli telah disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Mei tahun lepas kerana membunuh Zulkefle Abdullah, 37, di sebuah rumah di Kampung Labohan pada jam 10.30 pagi, 7 Dis 2015, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi pada 27 Mei 2018 turut menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas Mohamad Zulkifli kerana menyebabkan kecederaan parah kepada orang kurang upaya (OKU) Faizul Awang, 37, yang kudung kaki kanan pada masa, hari dan tempat sama. Hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 10 Dis 2019.

Dalam prosiding hari ini, Ariff Azami memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi kes mencederakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan hanya meneruskan rayuan berhubung kes bunuh.

Mengikut fakta kes, ketika kedua-dua mangsa sedang mencari besi buruk dan berhenti di kawasan rumah perayu selepas melihat terdapat besi buruk di kawasan itu, perayu secara tiba-tiba meluru ke arah Zulkefle dan menikam dada kanannya serta menikam Faizul menggunakan parang.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian ramai sebelum ini ekoran tular di media sosial yang mendakwa Mohamad Zulkifli melakukan perbuatan tersebut kerana mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa terbabit yang cuba merompak.

Kejadian tersebut membawa kepada penubuhan kumpulan ‘Selamatkan Zulkifli’ di laman sosial Facebook yang mencecah 71,000 pengikut dan turut menyiarkan pelbagai kenyataan negatif mempertikai kuasa polis menangkap Mohamed Zulkifli selepas kejadian dan proses perundangan.