Peniaga restoran muslim semakin tertekan, harga barang naik melampau

Peniaga restoran muslim semakin tertekan, harga barang naik melampau

 

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa kenaikan harga barangan basah secara mendadak memberi kesan kepada mereka yang menjalankan perniagaan makanan.

Naib Presiden Presma, Abdul Mukthahir M Ibrahim berkata, rata-rata ahlinya mengadu pendapatan mereka terjejas susulan kenaikan harga barang mentah.

Katanya, harga barang selalunya akan naik sedikit dalam musim perayaan dan harga itu akan turun semula dalam tempoh sebulan, namun harga kini dilihat masih kekal.

“Harga barang khususnya ayam yang sebelum ini dijual dengan harga RM6 hingga RM7 kini mencecah RM9 sekilo malah, telur saiz C yang dijual dengan harga RM10.50 sepapan berbanding RM7 dulu.

“Begitu juga dengan harga ikan, sayur, pelaga, cengkih, kayu manis dan rempah kari yang kini menyaksikan kenaikan harga.

“Tidak cukup dengan itu, harga susu pekat dan cair sudah naik tiga kali dalam tahun ini dan kami difahamkan akan berlaku lagi kenaikan harga barang ini dalam tempoh masa terdekat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Mukthahir berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan untuk mencari kaedah terbaik untuk menstabilkan harga barang bagi mengelakkan harga makanan dan minuman naik.

“Peniaga tidak mahu bebankan pelanggan tambahan pula kita tahu ramai pihak terjejas akibat Covid-19, jadi kerajaan perlu buat satu pendekatan bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang mentah secara mendadak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, kenaikan kos harga mentah kini ditanggung sepenuhnya oleh peniaga namun pihaknya bimbang kos tersebut akan diterjemahkan kepada pelanggan sekiranya peniaga tidak mampu menanggung kos itu lagi.

Katanya, isu kenaikan harga barang bukan saja membebankan peniaga dari segi menanggung kos malah peniaga makanan berdepan tangapan serong daripada pelanggan.

“Ada pelanggan tidak tahu kos barang mentah naik dan bila berlaku peningkatan harga makanan mereka tularkan isu tersebut tetapi hakikatnya bukan peniaga makanan punca kenaikan harga itu.

“Sehubungan itu, kita mahu kerajaan bertindak tegas dalam isu kenaikan harga barang mentah ini kerana ia bukan saja timbul kegusaran dalam kalangan peniaga untuk menanggung kerugian tetapi akan membebankan rakyat secara keseluruhan,” katanya.