Penjenayah berjaya menandingi populariti Abah di Johor

Penjenayah berjaya menandingi populariti Abah di Johor

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan saja menjadi pertembungan parti politik untuk membentuk kerajaan negeri, ia juga menjadi pertembungan pengaruh antara dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib yang digelar sebagai “bossku” dan Muhyiddin sinonim dengan gelaran “Abah” mempertaruhkan populariti masing-masing untuk menarik sokongan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN).

Najib mempertaruhkan kejayaan memimpin negara selama sembilan tahun untuk menarik sokongan rakyat, manakala Muhyiddin menjadikan pengalaman singkat sebagai Perdana Menteri sebagai tawaran kepada rakyat.

Ternyata, keputusan PRN Johor memberi isyarat yang signifikan bukan saja kepada kebangkitan BN, tetapi pengaruh Najib yang masih mempunyai aura sebagai bekas Perdana Menteri.

Dengan kata mudah “Abah” tewas kepada “Bossku” dalam persaingan pengaruh meskipun Muhyiddin adalah anak jati Johor.

Bahkan analisa yang dibuat oleh Ilham Centre melihat sambutan pengundi terhadap kehadiran bekas Perdana Menteri itu seolah-olah Najib tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh mahkamah.

Najib menurut badan itu menjadi faktor yang menarik sokongan serta membina momentum kepada BN.

“Najib Razak mempamerkan kesungguhan luar biasa melalui blusukan dengan pengundi berbanding dengan siri pilihan raya kecil yang lain. MCA turut menggunakan pengaruh populariti beliau untuk berusaha memecahkan dominasi sokongan pengundi Cina kepada DAP.

“Penerimaan pengundi terhadap kehadiran beliau dipamerkan seakan-akan mantan perdana menteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh mahkamah.

“Kehadiran beliau menjadi faktor penarik dan membina momentum tersendiri kepada kempen kepada BN,” kata laporan itu.

Ya, kehadiran Najib di Johor disambut bagaikan beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pengaruh Najib membantu kemenangan BN.

Isu 1MDB tidak lagi relevan

Meskipun Najib berdepan “serangan” segenap penjuru oleh pihak lawan, namun ia tidak menjelaskan sokongan rakyat terhadap Pengerusi Lembaga Penasihatan BN itu.

Bahkan kehadiran Najib di beberapa kawasan pengundi Cina bersama calon MCA juga dilihat menerima sambutan luar biasa.

Pemimpin PN khususnya daripada Bersatu menyerang peribadi Najib secara bertali arus sepanjang kempen sehingga tamat kempen.

Kluster mahkamah, penyamun, perompak yang turut dilontarkan pemimpin PAS terhadap pemimpin Umno itu tidak memberi kesan terhadap Najib.

Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak putus-putus meratib Najib sebagai pencuri dan perompak gagal menghakis sokongan rakyat.

Boleh disimpulkan bahawa rakyat tidak lagi termakan dengan strategi kempen yang dibawa pada pilihan paya umum lalu.