Percaya rezeki Allah, pasangan ini jual nasi ayam RM1.90 jer

Percaya rezeki Allah, pasangan ini jual nasi ayam RM1.90 jer

 

Cuba anda tanya mana-mana ahli perniagaan, apa kah motif utama mereka berniaga ? Jawapannya mungkin bberbeza, sama ada inginkan kepuasan, kebebasan dan banyak lagi namun satu yang pasti sama ialah inginkan keuntungan.

Namun lain pula bagi seorang peniaga nasi ayam di Kampung Bukit Marak, Bachok Kelantan yang masih mampu menjual sepinggan nasi ayam dengan harga yang tidak masuk akal; RM 1.90.

Harga berkenaan menyebabkan kedai mereka menjadi tumpuan dikalangan penduduk Bachok malahan turut tular di aplikasi TikTok selepas dikongsikan salah seorang anaknya.

 

Menurut Wan Roslina Roslan, 43, dia yang percaya pada ungkapan ‘rezeki tidak pernah salah alamat’ memilih menawarkan harga sedemikian kerana prihatin dengan nasib penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dia yang sebelum bergelar tukang masak turut hilang punca pendapatan disebabkan pandemik lalu nekad memulakan perniagaan menjual nasi ayam bersama suaminya dihadapan rumah mereka sejak Oktober tahun lalu.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Bukit Marak. Bagaimanapun, sejak tahun lepas saya mula hilang punca pendapatan selepas restoran milik majikan saya terpaksa gulung tikar.”

“Enggan meneruskan hidup tanpa sebarang pendapatan saya mula mengambil inisiatif berniaga nasi ayam yang lengkap termasuk hirisan timun, tomato dan juga salad dengan hanya berharga RM1.90 sejak Oktober tahun lepas,” katanya dipetik dari Bernama.

 

Akui terkesan dengan peningkatan harga ayam, tapi percaya Rezeki Allah

Mengakui terkesan dengan harga ayam yang meningkat, Wan Roslina dan suaminya  Rosli Salleh, bagaimanapun percaya pada rezeki yang diberikan Allah, dan gembira meskipun untung kecil kerana mereka memang sudah memasang niat untuk berniaga sambil bersedekah.

“Jika diikutkan, modal yang diperuntukkan untuk ayam mentah sahaja sudah banyak, namun saya percaya kepada rezeki Allah, walaupun hanya memperoleh keuntungan sedikit namun sekurang-kurangnya berpuas hati kerana niat berniaga sambil bersedekah” katanya lagi.

Difahamkan Rosli akan keluar seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli bahan mentah sebelum diserahkan kepada isterinya untuk dimasak bagi memenuhi permintaan pelanggan di kedainya.

 

Turut dapat tempahan dari luar Kelantan untuk tujuan infaq

Jelasnya lagi, selepas kedainya tular di TikTok, selain mendapat perhatian warga Bachok dan Kelatan, beliau turut mendapat tempahan dari luar antaranya Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu untuk menempah bagi infak kepada asnaf di sekitar Negeri Serambi Mekah itu.

“Selepas tular, tempahan nasi ayam saya juga bertambah selain ada juga pelanggan saya menempah secara dalam talian yang meminta saya mengagihkan nasi ayam berkenaan kepada rumah anak yatim dan juga asnaf.

“Pelanggan mempunyai dua pilihan hidangan nasi ayam iaitu nasi ayam biasa yang dijual pada harga RM1.90, dan nasi ayam ‘special’ (istimewa) iaitu nasi dengan potongan ayam lebih berharga RM3.50. Namun, kebiasaannya untuk berinfaq saya akan mencadangkan supaya mengambil yang ‘special’,” katanya.