Pergaduhan Bersatu-Umno: Perlukah ‘tamparan’ Allah yang lebih dahsyat dari Covid-19

Pergaduhan Bersatu-Umno: Perlukah ‘tamparan’ Allah yang lebih dahsyat dari Covid-19

Ahli Jawatankuasa Ulama Pas Pusat, Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan tiada keperluan untuk Bersatu dan Umno saling bertempur pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berpendapat kedua-dua parti Melayu itu perlu saling berlapang dada antara satu sama lain memandangkan sesama umat Islam dan sama bangsa, Melayu.

Ahmad Dusuki berkata, Bersatu dan Umno harus saling menghilangkan rasa tamak dan ego serta saling memberi dan menerima kemenangan dan kekalahan.

“Belum cukup lagikah pengajaran PRU-14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini!? Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah PH itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?

“Atau kita perlu ‘tamparan’ daripada Allah Covid yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini?” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Malaysia Dateline.

Dia berkata demikian mengulas kesediaan Bersatu menentang Umno dalam PRU-15 akan datang susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 yang tidak akan bekerjasama dengan parti diterajui Mahiaddin Md Yasin itu.

“Ini adalah realiti politik. Kadang-kadang kita bersahabat, kadang-kadang kita bermusuh atau apa pun. Kita (Bersatu) sudah ada pendirian.

“Kalau Umno tidak ubah keputusan itu bermakna itulah keputusan yang mereka akan ambil.

“Jadi, kita sudah bersedia. Di sini pun tadi dengan tegas dan jelas kalau sudah begitu di mana kita terpaksa bertembung (dengan Umno) dalam PRU-15 atau tidak ada cara lain untuk mengelak, maka kita harus hadapinya,” kata Mahiaddin selepas mesyuarat dengan Badan Pimpinan Bersatu Sabah, 2 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Dusuki menyeru agar Bersatu dan Umno berdamai dengan menerima hakikat tiga gabungan parti termasuk Pas untuk satu undi pada PRU-15.

“Cukuplah! Marilah sama-sama berdamai dan menerima hakikat kita saling memerlukan untuk menjadi umat yang kuat!

“Tiga gabungan untuk membangun kembali negara dan umah di atas puing-puing kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan oleh kerajaan PH dahulu. Cukuplah! Cukuplah dan cukuplah!” ulang Ahmad Dusuki lagi.