Peringatan penting! Rentas negeri tanpa vaksin lengkap akan dikompaun
Individu yang belum lengkap vaksin berdepan dengan kompaun sekiranya dikesan melakukan rentas negeri.
Tindakan tegas itu akan diambil melalui pemeriksaan pasukan pemantau di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali.
“Polis juga akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain memastikan tiada individu belum menerima vaksin COVID-19 mengambil kesempatan.
“Tiada lagi amaran dan pihaknya akan lebih bertegas termasuk mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP.
“Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan lakukan aktiviti rentas negeri,” katanya lapor Ismaweb.net.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, pemeriksaan secara rawak akan dilaksanakan di kawasan tumpuan awam di seluruh negara termasuk R&R dan pusat beli-belah.
Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.
“Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras.
“Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaan memberi kebenaran untuk rentas negeri, ia tidak bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.