Perlu tindakan lebih tegas jika langgar SOP, tegas Sultan Terengganu

Perlu tindakan lebih tegas jika langgar SOP, tegas Sultan Terengganu

Tindakan lebih tegas perlu dilakukan bagi memastikan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi, kata Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda berkata, ia juga bagi memastikan penularan kes baharu dapat diatasi dalam keadaan sektor ekonomi dibuka.

“Covid-19 di negeri ini menunjukkan trend peningkatan kes yang tinggi sejak pengisytiharan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berbanding PKP 1.0 dan 2.0,” titah Sultan Mizan menurut laporan Berita Harian.

Titah ucapan Sultan Mizan disampaikan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14.

Baginda berkata, jumlah pusat kuarantin (QS) serta pusat kuarantin berisiko rendah (PKRC) juga semakin meningkat selari dengan peningkatan kes baharu dan memaklumkan sehingga kini sebanyak enam pusat kuarantin yang mampu memuatkan seramai 2,967 pesakit dan tujuh PKRC dengan kapasiti 3,139 katil.

Katanya, kesan daripada penularan pandemik Covid-19 turut menjejaskan kehidupan rakyat terutama ekonomi dan sedang diberi pertimbangan pihak Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Program vaksinasi diberikan secara percuma kepada semua warganegara disalurkan melalui pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) adalah kaedah terbaik kerajaan untuk melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19,” titahnya.

Sultan Mizan bertitah, lebih 80.2% daripada anggota masyarakat sudah mendaftar untuk menerima vaksin dan sebanyak 15 PPV dibuka di seluruh negeri dan pelbagai program “outreach” dilaksanakan.

“Beta dimaklumkan bahawa CITF persekutuan menghadapi kekangan sumber vaksin di peringkat global menyebabkan kadar penerimaan stok vaksin menghadapi sedikit gangguan bekalan.

“Beta berharap isu gangguan bekalan vaksin dapat diselaraskan sebaik mungkin supaya usaha itu akan dapat membantu kerajaan negeri mencapai imuniti berkelompok sebelum hujung tahun ini atau sebelum monsun timur laut melanda,” titahnya.