PH kecewa SKMM cuba tutup mulut rakyat isu banjir

PH kecewa SKMM cuba tutup mulut rakyat isu banjir

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta supaya tidak menjadi alat suruhan pemerintah memadam kritikan pengguna media sosial yang ‘berang’ dengan tindakan kerajaan menangani bencana banjir.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan berkata, apakah kritikan sebegitu menggugat keselamatan negara, sehingga SKMM terpaksa meminta Twitter memadam kritikan netizen.

“Kegagalan Kerajaan Persekutuan telah menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter, khususnya para Menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat dan membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.

“Tindak balas Kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para Menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut mewakili Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

Dalam masa sama, kenyataan tersebut menyuarakan rasa kesal bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.

Katanya, kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya.

“Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera.

“Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Kenyaaan itu juga menyampaikan ucapan takziah buat 41 orang mangsa bencana banjir di seluruh negara dan sangat kesal dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan menangani krisis yang menyebabkan ramai tidak mendapat bantuan semasa dan pasca banjir.

Berikutan itu, PH mendesak kerajaan untuk bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi kerajaan-kerajaan negeri.