Pinjaman kepada adik sebanyak RM250 ribu, peguam kata Zahid tiada kaitan

Pinjaman kepada adik sebanyak RM250 ribu, peguam kata Zahid tiada kaitan

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiada kena mengena mahupun mendapat imbuhan daripada pinjaman wang RM250,000 yang diberikan kepada adik lelakinya oleh seorang ahli perniagaan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pendakwaan tiada asas untuk menyatakan bekas Timbalan Perdana Menteri memainkan peranan dalam pinjaman wang daripada Junaith Asharab Md. Shariff kepada Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Hujahnya, Junaith yang merupakan saksi pendakwaan ke-36 ketika memberi keterangan menyatakan, Mohamad Nasaee menghubunginya pada akhir Jun 2016 untuk mendapatkan pinjaman dan berjanji untuk membayar balik dalam tempoh dua bulan.

Beliau berhujah, anak guamnya tidak tahu menahu berhubung pinjaman tersebut yang kemudian telah dibayar oleh Mohamad Nasaee dengan memasukkannya ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

Selain itu, hujahnya, Mohamad Nasaee juga tidak dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi menyokong kes pendakwaan.

Sehubungan itu, Hisyam berhujah pendakwaan tidak mempunyai asas untuk menyatakan wang RM250,000 yang diberikan itu merupakan sebagai dorongan untuk menyerahkan projek MyEG kepada sebuah syarikat.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, lapor Utusan.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.