Pintu kereta tak rapat, kanak-kanak ini nyaris maut

Pintu kereta tak rapat, kanak-kanak ini nyaris maut

SEORANG kanak-kanak berdepan detik cemas apabila nyaris terhumban keluar dari kereta yang dinaikinya gara-gara pintu kenderaan itu tidak ditutup rapat.

Detik-detik cemas yang berlaku di Puebla, Mexico pada Rabu itu sempat dirakam seorang penunggang motosikal yang berada di belakang kereta tersebut.

Menerusi rakaman selama 30 saat itu, penunggang motosikal berkenaan menunjukkan keadaan pintu kereta tersebut yang tidak ditutup rapat ketika berhenti di lampu isyarat di persimpangan Manuel Rivera Anaya Avenue dan Las Torres Avenue,

Apabila lampu hijau, kereta terbabit membelok ke kiri menyebabkan pintu kenderaan di bahagian penumpang belakang itu terbuka secara tiba-tiba dan kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berpaut pada pemegang pintu daripada terhumban keluar.

Kejadian mengejutkan itu membuatkan beberapa penumpang lain dalam kereta itu ketakutan dan menjerit sebelum pemandunya memberhentikan kereta serta-merta.

Penunggang motosikal berkenaan juga sempat berhenti dan membantu kanak-kanak itu masuk semula ke dalam kenderaan.

“Saya cuba mendekati sehampir mungkin ke arah pintu supaya kereta lain tidak boleh lalu dan nasib baik saya tidak dilanggar mahupun kanak-kanak itu mengalami kecederaan lain dan sebuah lagi kereta tidak dilanggar,” kata lelaki tersebut yang tidak mendedahkan namanya.

Video yang dikongsikan di akaun TikTok @aldocastilohdz itu sudah mencatatkan tontonan lebih 1.5 juta.