PM nafi beri bantuan mangsa banjir kerana PRU nak dekat

PM nafi beri bantuan mangsa banjir kerana PRU nak dekat

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob menyangkal dakwaan bahawa pelbagai bantuan banjir yang disalurkan kerajaan kepada mangsa ada kena mengena dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan tanggungjawab dan juga kewajipan kerajaan bagi membantu setiap rakyat yang memerlukan bantuan.

“Bukan sahaja kerajaan Pusat malah kerajaan-kerajaan negeri pun banyak bantu. Terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang kerana turut memberikan bantuan tunai (RM500) kepada mangsa terjejas banjir,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Ihsan dan Bantuan Khas Banjir di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Mengulas tindakan individu tertentu mengambil kesempatan menipu sebagai mangsa banjir demi mendapatkan bantuan, Ismail Sabri berkata, kerajaan mempunyai kaedah mengenal pasti mangsa yang benar-benar terjejas.

“Pegawai-pegawai daerah akan bekerjasama dengan ketua-ketua kampung untuk kenal pasti setiap mangsa terlibat dengan musibah banjir.

“Sebab itu kita perlu kerjasama daripada setiap ketua-ketua kampung kerana mereka yang mengetahui mangsa terlibat. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengesahkan kepada pejabat pegawai daerah,” katannya.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu memberikan amaran kepada individu yang sengaja mengambil kesempatan menipu kononnya merupakan mangsa banjir.

“Saya tidak mahu beri amaran pada sesiapa, cuma kita perlu jujur,” katanya.