PN akan sisihkan Umno dalam agihan kerusi di Melaka

PN akan sisihkan Umno dalam agihan kerusi di Melaka

 

AGIHAN kerusi dan senarai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan minggu ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, rundingan antara parti komponen PN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan masih berjalan namun belum memuktamadkan sebarang keputusan.

“Untuk makluman, rundingan antara ketiga-tiga komponen parti ini sedang berjalan dan Insya-Allah saya yakin minggu ini kita akan muktamadkan senarai kerusi ditandingi.

“Kalau saya boleh sebut di sini lebih kurang 50 peratus rundingan kerusi antara PN telah pun selesai, baki 50 peratus akan dimuktamadkan minggu ini,” katanya memetik laporan Malaysiapost.

Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, setakat ini kesemua enam bahagian sudah menyerahkan senarai calon yang berpotensi untuk mewakili Bersatu di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti sebelum senarai penuh dipersembahkan kepada presiden parti.

“Saya ada menerima pelbagai pencalonan daripada bahagian termasuk Srikandi dan Armada yang mana selain calon yang berada dalam struktur tertinggi pimpinan, parti juga akan mengetengahkan calon profesional berkelulusan tinggi.

“Calon yang mempunyai semangat berkhidmat untuk rakyat serta calon muda juga akan dipertimbang sebagai persiapan PN untuk berhadapan dengan undi 18 pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Sekarang dalam proses memuktamadkan rundingan kerusi antara komponen PN pada minggu ini dan selepas itu akan berjumpa dengan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diperhalusi serta diketengahkan,” katanya.