Polis bantu seorang bapa naik motor bawa anak 9 tahun dari Perak ke KL

Polis bantu seorang bapa naik motor bawa anak 9 tahun dari Perak ke KL

Pihak polis telah bertindak membantu seorang bapa yang menggendong anak dengan ikatan kain pelikat dengan menaiki motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), semalam (8 Mei).

Menerusi laporan Kosmo, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataannya memaklumkan insiden tersebut berlaku di Kilometer 435.1 Latar arah selatan kira-kira pada 4 petang, semalam.

Gendong anak umur sembilan tahun, baru pulang beraya dari Perak

“Melihat kepada situasi itu, pasukan peronda telah menahan penunggang motosikal terbabit.

“Hasil soal siasat mendapati kanak-kanak lelaki yang digendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun dan sedang dalam perjalanan ke Dang Wangi, Kuala Lumpur selepas pulang beraya di Batu Gajah, Perak,” jelasnya.

Menerusi kenyataan itu, polis turut menasihati individu tersebut akan tindakannya itu boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan yang lain.

Peronda hantar kanak-kanak lelaki itu ke kediaman sambil diiringi bapanya

“Atas faktor keselamatan, pasukan peronda telah mendapatkan kebenaran Komander Lebuhraya Zon Tengah A dan Gerakan Trafik untuk membawa dan menghantar kanak-kanak itu sambil diiringi ayahnya hingga ke kediaman mereka di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur,” katanya.

Susulan itu, pihak polis menasihatkan pengguna lebuh raya untuk lebih peka kepada soal keselamatan serta berhati-hati semasa pemanduan di musim perayaan.