Polis mula kompaun pemimpin pembangkang sertai himpunan 1 Ogos

Polis mula kompaun pemimpin pembangkang sertai himpunan 1 Ogos

Pihak polis mula mengeluarkan kompaun kepada ahli parlimen dan senator pembangkang yang menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka susulan penangguhan sidang khas parlimen pada 2 Ogos lalu.

Ini selepas ahli Dewan Negara, Senator Yusmadi Yusof hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi menerima kompaun berkenaan.

Menurut Yusmadi, dia ditunjukkan oleh pihak polis senarai lebih 60 ahli parlimen pembangkang yang turut akan dikenakan kompaun.

“Ketika saya di IPD Sentul, saya ditunjukkan senarai MP yang bakal dikompaun. Lebih kurang 60 orang dalam senarai itu.

“Kesemuanya ahli Dewan Rakyat. Cuma saya seorang sahaja Ahli Dewan Negara,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu seramai 107 wakil rakyat pembangkang berkumpul dari Dataran Merdeka dan cuba bergerak memasuki parlimen pada hari yang sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas bagi membincangkan isu-isu semasa.

Sidang khas itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan ia diadakan bagi membolehkan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika itu selaku ketua majlis menangguhkan sidang berkenaan atas alasan penularan Covid-19.

Susulan itu, kesemua ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum bergerak ke bangunan parlimen, namun dihalang oleh pihak polis.

Terdahulu, Yusmadi dikenaka kompaun atas kesalahan menyertai perhimpunan itu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pemimpin PKR itu dikompaun sebanyak RM3,000 atas tiga kesalahan iaitu kesalahan berarak, berhimpun dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Yusmadi berkata dia mempunyai tempoh 14 hari untuk menjelaskan tawaran kompaun berkenaan dan sedang berbincang dengan peguam mengenai tindakan lanjut.

“Sekiranya terdapat bukti asas yang kukuh, saya akan membantah dan mengambil tindakan seterusnya,” katanya.