Politik akan stabil jika kerusi Umno sedikit, kata Pas

Politik akan stabil jika kerusi Umno sedikit, kata Pas

Kerajaan Kedah adalah kerajaan paling stabil di Malaysia kerana Umno mempunyai jumlah kerusi yang paling sedikit, kata Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, apabila kerusi Umno sangat kurang di setiap negeri baru politik di Malaysia menjadi stabil.

“Bila kerusi Umno sangat kurang sehingga kalau dia tarik diri pun kerajaan tidak tumbang, itulah formula mewujudkan kestabilan politk di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional Negeri Johor di Taman Sri Wangsa, Parit Besar, di sini malam tadi.

Menurut beliau, di Kedah PAS ada 15 kerusi, Bersatu (6), PH (13) dan Umno hanya dua kerusi.

“Kami pakat buat kerajaan PAS, Bersatu, Umno dari hari pertama membentuk kerajaan pada 17 Mei 2020 sampai hari ini kerajaan Kedah adalah kerajaan paling stabil di Malaysia.

“Formulanya, kena kerusi Umno sikit. Kalau banyak kacau. Tengok di Melaka. Dia dapat banyak kerusi, tumbang Melaka. Di Johor pun Umno banyak kerusi, tumbang kerajaan. Dia sendiri yang tumbangkan, buat PRN dalam saat rakyat kesusahan,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah.

Beliau mempersoalkan di peringkat Persekutuan, Umno memimpin boleh membuat Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan pembangkang, kenapa di Johor tidak boleh.

Katanya, di Johor bukan hendak mewujudkan kestabilan tetapi tujuan PRN adalah untuk menambah kerusi Umno dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menegaskan rakyat akan menghadapi bahaya jika memilih Umno-BN lagi kerana mereka mengaut segala kekayaan untuk diri sendiri.

“Apa yang ada dikeliling kita akan hilang semua akan dibolot oleh Umno, sama ada kuasa, politik dan ekonomi.

“Saya mohon rakyat negeri Johor beri peluang kepada PN yang ada PAS, Bersatu dan Gerakan. PN merupakan satu kumpulan yang akan menawarkan kerajaan yang lebih baik daripada yang ada di negeri Johor.

“Kita kena hantar signal yang betul kepada Malaysia dalam PRN negeri Johor iaitu jika BN menang selesa di Johor maka PRU akan disegerakan,” katanya, memetik Harakahdaily.

Beliau menegaskan, rakyat akan digambarkan seolah-olah BN telah kembali pulih kleptokrasi dan korupsi boleh diterima dan kes mahkamah tidak menjadi kesalahan.

Katanya, signal itu akan mempengaruhi generasi akan datang manakala negara akan rosak.

Justeru tegas beliau, demi kebaikan negeri dan negara, rakyat Johor perlu menolak kleptokrasi korupsi dan janji palsu.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari. Turut berucap ialah Timbalan-timbalan Ketua Pemuda PN, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Wong Chia Zhen dan Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, Timbalan Pengerusi PN Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Ketua Pemuda PN Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac.