Power! Robot bedah babi tanpa bantuan manusia

Power! Robot bedah babi tanpa bantuan manusia

Sebuah robot yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik dari negeri Maryland, Amerika Syarikat, berjaya melakukan prosedur pembedahan ke atas empat ekor babi tanpa melibatkan manusia, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menerusi penyelidikan Universiti Johns Hopkins, Robot Autonomi Tisu Pintar (Star) itu melakukan  pembedahan laparoskopi untuk menyambung dua bahagian hujung usus pada  empat ekor babi.

Menurut kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Robotics, robot tersebut berjaya melakukan prosedur itu yang kebiasaannya, memerlukan tahap ketepatan  tinggi dan pergerakan berulang.

“Ini merupakan pertama kali robot melakukan pembedahan laparoskopi tanpa bantuan manusia.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa kita boleh melakukan satu daripada tugasan paling rumit dalam pembedahan  iaitu menyambung semula dua bahagian hujung usus.

“Star membuktikan bahawa ia mampu melakukan pembedahan ke atas empat ekor haiwan dengan hasil yang lebih baik berbanding manusia,” kata Pembantu Profesor Kejuruteraan Mekanikal  Universiti Johns Hopkins, Axel Krieger.

Krieger turut terlibat dalam mencipta robot tersebut yang mempunyai sistem berpandukan kesihatan yang direka untuk menjahit tisu lembut.