PRN Tioman: Hadi Awang kata wajib mengundi, elak negara dikuasai musuh Islam

PRN Tioman: Hadi Awang kata wajib mengundi, elak negara dikuasai musuh Islam

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan kewajipan turun mengundi bagi umat Islam bagi mengelakkan negara dikuasai oleh mereka yang memusuhi dan tidak memahami Islam.

Beliau berkata, demokrasi pilihan raya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab para ulama selepas kewafatan Rasulullah SAW.

“Saya sekali lagi mengingatkan kepada para hadirin mengenai betapa pentingnya kewajipan turun mengundi semasa sarapan pagi dan sembang santai bersama calon dan pimpinan masyarakat di Dewan Undangan Undangan (DUN) Tioman.

“Demokrasi pilihan raya ini hakikatnya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab karangan para ulama’ Siyasah al-Syar‘iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW, kemudian dicedok oleh pihak Barat semasa mereka menjarah tanah air umat Islam.

“Namun, sebahagian umat Islam sendiri mengabaikan tanggungjawab ini apabila ada yang tidak mahu turun mengundi, malah menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat,” katanya memetik laporan Malaysiapost.

Abdul Hadi berkata, kesan daripada keengganan menunaikan tanggungjawab mengundi menyebabkan politik dan negara Islam diterajui golongan yang memusuhi agama itu.

Katanya, dalam erti sebenarnya situasi tersebut mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup dan banyak lagi.

“Marilah kita umat Islam sama-sama kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan melibatkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi meluangkan masa bersarapan pagi dan sembang santai bersama calon dan masyarakat di DUN Tioman, hari ini.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.