PT3 dimansuhkan kerana kewangan kerajaan bermasalah?

PT3 dimansuhkan kerana kewangan kerajaan bermasalah?

Adakah wujud faktor tertentu yang mendorong kerajaan untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)?

Menurut sumber industri, kewangan negara yang semakin menyusut mungkin menjadi faktor utama di sebalik langkah kerajaan memansuhkan peperiksaan itu, selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) turut dibatalkan pada tahun lalu.

Pakar bidang menjangkakan langkah pemansuhan itu boleh menjimatkan kewangan kerajaan sehingga ratusan juta ringgit setahun, satu jumlah yang dianggap besar ketika negara memasuki Fasa Peralihan Endemik selepas dua tahun dilanda COVID-19.

Seorang bekas pemeriksa yang enggan namanya disiarkan berkata, jutaan ringgit dibelanjakan setahun untuk melaksanakan setiap peperiksaan utama negara, iaitu daripada penyediaan soalan, logistik sehingga kepada penandaan puluhan ribu kertas jawapan.

“Ini tidak termasuk kemungkinan kertas bocor yang memerlukan satu set soalan baharu dihasilkan, dicetak dan diedar.

“Anda boleh bertanya kepada pemain industri lain dan saya percaya mereka akan memberitahu perkara yang sama. Saya rasa kerajaan kehabisan wang dan itulah sebabnya PT3 dimansuhkan. Cuma perkara ini tidak diberitahu kepada umum,” katanya kepada The Vibes.

Justeru, The Vibes menghubungi Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu, namun masih belum mendapat sebarang respon daripada orang nombor satu Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan setakat ini (sehingga artikel ini ditulis).

Dalam satu pengumuman penting pada 2 Jun lalu, Mohd Radzi berkata, PT3 akan dimansuhkan berkuat kuasa tahun ini dengan tumpuan diberikan kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS).

Beliau berkata, penilaian formatif dan sumatif sepanjang penggal akademik akan membolehkan ibu bapa serta guru, memantau perkembangan pelajar dengan lebih dekat dan mengadakan sesi intervensi sekiranya perlu.

PT3 pada tahun 2020 dan 2021 dibatalkan kerana penularan COVID-19 yang berterusan ketika itu.

Pemansuhan PT3 diumumkan pada 2 Jun lalu selepas kira-kira setahun Mohd Radzi memaklumkan UPSR ditamatkan pada 28 April tahun lepas.

Menurut sumber itu, dengan peningkatan populasi secara langsung di negara ini yang menyebabkan lebih ramai pelajar menduduki peperiksaan utama, pemansuhan kedua-dua sistem itu dianggap wajar oleh kerajaan.

Mungkin ‘orang kementerian’ di Putrajaya terfikir perlukah meneruskan PT3.

Seorang bekas guru yang banyak terlibat dalam menyediakan kertas peperiksaan berkata, beliau percaya Mohd Radzi mungkin ditekan ‘mereka yang mempunyai jawatan lebih tinggi’ untuk membatalkan peperiksaan itu.

Beliau berkata, mereka yang rapat dengan Menteri itu pasti mengenali Mohd Radzi adalah seorang individu setia dan sering mengendahkan arahan pihak atasan.

“Saya rasa anda boleh tentukan sendiri siapa orang bertanggungjawab di Putrajaya,” katanya yang seolah-olah merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia juga mungkin menjadi punca mengapa Mohd Radzi tidak hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), pada Isnin lalu kerana tidak akan dapat menjawab soalan mengenai tindakan sebenar pihaknya memansuhkan peperiksaan itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang juga Pengerusi PSSC mengenai pendidikan mendedahkan bahawa Mohd Radzi, mahupun mana-mana wakil kementerian tidak menghadiri mesyuarat semalam walaupun mereka sepatutnya memberi penjelasan lanjut mengenai pemansuhan PT3.

Mazlee berkata, tindakan terbabit seperti memperkecilkan peranan Parlimen walaupun mereka dipanggil secara rasmi oleh badan perundangan negara itu.

Mohd Radzi juga masih belum menjelaskan sebab ketidakhadirannya dalam mesyuarat itu.