Punggung abang kena tikam sebab kutuk adik menganggur

Punggung abang kena tikam sebab kutuk adik menganggur

Seorang lelaki di Lampung Timur, Indonesia nekad menikam abang kandungnya sendiri kerana bengang dilabelkan sebagai penganggur, lapor Kompas.Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami luka tikaman sedalam 1.5 sentimeter di bahagian punggungnya.

Ketua Polis Mataram Baru, Inspektor Satu Rudy Apriyanto berkata, kejadian itu berlaku di Desa Mataram Baru pada Sabtu lalu, 10 September 2022.

“Suspek berusia 35 tahun merupakan adik kandung kepada mangsa,” katanya.

Menurut Rudy, sebelum kejadian mangsa cuba menasihati suspek untuk mencari pekerjaan dan bukannya menganggur duduk di rumah sambil menjadi biawak hidup.

Suspek dipercayai bengang dengan nasihat mangsa yang melabelkan dirinya sebagai penganggur, lalu bertindak memukul dan mencekik mangsa bagaikan tiada hari esok, sebelum dileraikan oleh isteri mangsa.

“Tiba-tiba suspek mengambil sebilah pisau dan menyerang isteri mangsa yang cuba meleraikan mereka, tetapi sempat dihalang oleh mangsa,” kata Rudy.

Ketika cuba menyelamatkan isterinya, mangsa terkena tikaman di bahagian punggung bahagian kiri sedalam 1.5 sentimeter. Suspek panik dengan kejadian itu segera melarikan diri dari lokasi.

Mangsa kemudian pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

Bertindak di atas laporan itu, suspek telah ditahan polis pada hari yang sama di salah sebuah rumah saudaranya. Polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu.