Pusat hiburan semakin berleluasa zaman Keluarga Malaysia, 49 dikompaun

Pusat hiburan semakin berleluasa zaman Keluarga Malaysia, 49 dikompaun

 

SERAMAI 46 pengunjung termasuk dua pemilik premis pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dikenakan kompaun berjumlah RM290,000 kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, dalam serbuan tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Datuk Azman Ayob, berkata dalam serbuan pertama sebanyak 30 kompaun bernilai RM150,000 dikeluarkan ke atas pengunjung di premis pertama.

Katanya, manakala sebanyak 16 kompaun dengan nilai RM90,000 dikeluarkan ke atas pengunjung di premis kedua.

“Kedua-dua pemilik premis pusat hiburan tersebut juga dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 setiap satu dalam serbuan itu.

“Kompaun dikeluarkan mengikut pelanggaran Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh PPN Fasa 4 di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan sama juga, seramai 23 pengunjung di premis pertama disaring ujian air kencing dan keputusannya negatif.

“Operasi ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha bagi menghentikan penularan Wabak Covid-19 di kalangan warga Kuala Lumpur khususnya,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.