Rafizi dedah Saifuddin Nasution rapat dengan Zahid, tapi tak berjaya pujuk sokong Anwar

Rafizi dedah Saifuddin Nasution rapat dengan Zahid, tapi tak berjaya pujuk sokong Anwar

CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan bakal pencabarnya yang juga Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai hubungan rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Rafizi yang mengumumkan kembali berpolitik dalam satu wawancara berkata, tidak pernah mempercayai UMNO akan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri (PM), walaupun Saifuddin mempunyai hubungan yang rapat dengan Zahid sejak era Pemuda UMNO sebelum ini.

“Saya tak nampak macam mana UMNO boleh meyokong Datuk Seri Anwar jadi Perdana Menteri.

“Saya daripada awal berkata tak kisahlah sebagaimana rapat sesetengah tokoh dalam parti (PKR), contoh Datuk Saifuddin rapat dengan Zahid, memang betul mereka rapat daripada Pemuda UMNO,” katanya semasa wawancara dengan Utusan Malaysia yang disiarkan secara dalam Facebook lapor Agenda Daily.

Untuk rekod, Zahid dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini didedahkan media pernah menghantar surat ke Istana Negara dengan menyokong Anwar sebagai calon PM semasa krisis politik pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Susulan surat tersebut, timbul bibit perpecahan dalaman UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan menghantar surat tersebut tanpa berbincang dengan Ahli Parlimen (MP) UMNO yang lain waktu itu.

Selepas itu, tular juga klip audio perbualan antara Zahid dan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu yang didapati terdapat komplot antara kedua-dua ketua parti tersebut untuk menjatuhkan PM Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Klimaks kepada krisis politik tahun lalu, ia menyaksikan Muhyiddin meletak jawatan kerana tidak lagi mempunyai majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat dan bagi pihak kerajaan, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan sebagai pengganti.

Bagi sebelah pihak blok pembangkang, Pakatan Harapan pula menamakan Anwar sebagai calon PM tetapi beliau gagal selepas gagal mendapat majoriti yang mencukupi tanpa sokongan anak muridnya yang menyokong Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri sebagai PM Kesembilan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, walaupun terdapat hubungan rapat segelintir pemimpin parti itu dengan Zahid tetapi ia tidak bermakna dapat mempengaruhi keputusan parti untuk menyokong Anwar sebagai PM.

“Tapi bagi saya rapat persahabatan itu tidak sampai kepada boleh mempengaruhi keputusan parti.

“Jadi, daripada awal saya kata saya tak rasa dia boleh menyebabkan tiba-tiba Datuk Seri Zahid boleh menyakinkan UMNO untuk meyokong Anwar,” katanya.

Jelasnya lagi, ia sesuatu yang mustahil berlaku untuk PKR mendapatkan sokongan daripada UMNO bagi memastikan Anwar menjadi PM dan ini terbukti selepas dua tahun perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

“Daripada awal bagi saya benda itu mustahil berlaku daripada strategi politik.

“Tetapi pandangan yang lain majoriti ketika itu ialah sepatutnya cuba dapatkan sokongan seberapa banyak sokongan Ahli Parlimen dan mereka yakin boleh berbincang dengan UMNO untuk mendapatkan sokongan tapi akhirnya selepas dua tahun kita tahu perkara itu tidak berlaku,” katanya lagi.