Raja Petra tak mengaku pengecut, tuduh kerajaan yang halang dia balik Malaysia

Raja Petra tak mengaku pengecut, tuduh kerajaan yang halang dia balik Malaysia

 

Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin mendedahkan kerajaan tidak membenarkan beliau pulang ke tanah air dan bukannya menjadi pengecut seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Raja Petra berkata, pelbagai cara sudah dilakukan olehnya sejak 2013 untuk pulang ke Malaysia termasuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika di bawah pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, selain itu, beliau turut mengadakan rundingan dengan dua menteri kabinet serta Bukit Aman untuk membantunya pulang ke Malaysia.

“Pengkritik menghina saya dan kata saya pengecut untuk balik ke Malaysia, yang sebenarnya saya cuba balik banyak kali tetapi dihalang.

“Saya juga sudah balik ke Malaysia (secara) simbolik, saya pergi ke Kedutaan Malaysia di Bangkok, Kedutaan Malaysia di Jakarta, Kedutaan Malaysia di Singapura serta London. Lebih tujuh hingga lapan kali.

“Mereka tidak tangkap saya pun, kalau nak kira saya boleh ditangkap bila masuk ke kedutaan. Tetapi tiada kes terhadap saya dan saya bukannya pelarian. Boleh semak nama saya dalam laman sesawang Interpol (Polis Antarabangsa) di bawah Notis Merah, memang tiada.

“Apa sahaja tuduhan terhadap saya yang mengaitkan Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) mahupun Najib, semuanya sudah digugurkan dan ditarik balik,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di Twitter miliknya.

Pada 2009, media melaporkan, Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah melalui laman webnya.

Dalam pada itu, Raja Petra berkata, kerajaan tidak mahu beliau pulang kerana takut akan mengganggu gugat keamanan negara.

“Mereka (kerajaan) takut saya akan beri bahaya kepada kerajaan, itu alasan yang diberikan. Mereka lebih nak saya duduk di London, biarlah saya menulis atau buat video asalkan saya tidak turun padang ceramah di kampung atau merata tempat seterusnya kerajaan akan menghadapi masalah.

“Kerajaan takut saya buat ‘roadshow’, kalau saya ceramah boleh tarik sehingga 30,000 penonton dan jumlah itu akan bertambah sehingga 50,000 pada musim Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi bukannya saya tidak mahu balik, cuma kerajaan tidak membenarkan,” katanya.

Walaupun begitu, Raja Petra berkata, pasportnya masih aktif dan boleh memperbaharuinya pada bila-bila masa.

“Saya minta bantuan (Ahmad) Zahid dan beliau kemudiannya minta bantuan kepada Jabatan Imigresen dan pihak kedutaan. Saya masih boleh memperbaharui pasport ini, kalau saya tidak mampu ke London, dia akan hantar pegawai ke rumah saya dan itu adalah arahan TPM,” katanya.