Rakyat persoal kenapa setelah 2 tahun pandemik baru nak wajibkan facemask kelulusan Sirim?

Rakyat persoal kenapa setelah 2 tahun pandemik baru nak wajibkan facemask kelulusan Sirim?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa semua pelitup muka bukan perubatan perlu mendapat perakuan serta penandaan cop MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuatkuasa 4 Julai.

Difahamkan keputusan tersebut diambil susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada 5 April yang lalu.

Menurut KPDNHEP, pewartaan tersebut bertujuan bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Arahan drastik tersebut bagaimanapun agar kurang disenangi ramai netizen. Malah ia turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah pakar perubatan, wartawan dan ahli politik sendiri.

Ini kerana ramai yang merasakan kita sudah berdepan wabak maut ini selama dua tahun dan semakin menghampiri fasa endemik justeru segala peraturan patut dipermudah dan bukan dipersulitkan.

Perkara sama turut dilontarkan Pengasas dan Pengerusi Med Tweet Malaysia, Dr Khairul Hafidz di Twitter.

Malah ada yang tertanya-tanya apakah rasional di sebalik pewartaan tersebut kerana kebanyakan alatan ini sepatutnya mendapat kelulusan Peranti Perubatan Malaysia (MDA) dan bukan SIRIM.

Malah ada juga yang khuatir keputusan ini akan menyebabkan berlakunya lonjakan harga pelitup muka di pasaran. Ini kerana harga permohonan perakuan MS SIRIM agak tinggi.

Namun dalam masa sama, ada juga yang menyokong usaha ini kerana ia dapat menapis mask yang berkualiti rendah sekaligus dapat mengutamakan keselamatan para pengguna.

Isu denda RM100,000 jika pengguna pakai mask tanpa cop Sirim hanyalah salah faham

Terdahulu, isu ini turut menjadi perhatian netizen selepas terdapat kekeliruan yang mengatakan bahawa kegagalan mana-mana individu memakai pelitup muka tanpa pengakuan SIRIM akan menyebabkan mereka dikenakan denda RM100,000.

Namun menerusi semakan pada siaran warta tersebut, peraturan tersebut hanyalah untuk pembekal dan penjual individu dan bukan kepada pengguna.