Rintihan rakyat: Buatlah apa jua SOP, janji dapat jumpa orang tua di kampung

Rintihan rakyat: Buatlah apa jua SOP, janji dapat jumpa orang tua di kampung

Larangan rentas negeri yang masih berkuat kuasa di seluruh negara menyebabkan Pulau Langkawi kini menjadi medan pertemuan ahli keluarga yang sudah lama terpisah.

Tidak mungkin kita boleh pulang ke kampung ketika ini kecuali bagi pasangan jarak jauh, ibu bapa mahu melawat anak berusia 18 tahun ke bawah atau mempunyai hal-hal kecemasan seperti ibu bapa sakit tenat atau kematian.

Lainlah bagi golongan yang ‘curi-curi’ balik kampung dengan pelbagai taktik untuk menipu pihak berkuasa atau menggunakan ‘kabel’, mereka mungkin boleh pulang ke kampung setiap bulan, memetik laporan Kosmo.

Namun, bagi orang yang jujur, jika sekadar rindu yang teramat sangat untuk menatap wajah ibu bapa secara bersemuka, simpan sahaja kerinduan itu dalam hati sehinggalah kerajaan membenarkan semula aktiviti rentas negeri.

Hanya satu jalan mudah untuk berjumpa ibu bapa, adik-beradik serta saudara-mara dengan berkumpul di Langkawi yang kini boleh dikunjungi semua individu dari seluruh negara yang lengkap vaksinasi.

Maka, berpusu-pusulah pelancong domestik membanjiri pusat peranginan terkenal itu.

Sejak pembukaan hari pertama pada Khamis lalu, media sosial dipenuhi perkongsian gambar dan video suasana kemeriahan di Pulau Langkawi.

Terlepaslah kerinduan mereka untuk melancong walaupun di dalam negara sahaja, asalkan dapat melepaskan tekanan setelah berbulan-bulan lamanya terkurung di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang berwang dan berduit, sememangnya tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk cuti-cuti Malaysia bersama keluarga, malah boleh mengambil kesempatan bertemu ibu bapa atau adik-beradik di pulau legenda itu.

Orang yang datang bercuti ke Langkawi majoriti golo­ngan berada. Mereka masih berduit, masih ada projek, bergaji tetap, tidak dibuang kerja atau tidak dipotong gaji akibat Covid-19. Itu rezeki mereka untuk pergi melancong.

Sekurang-kurangnya duit yang dibelanjakan di sana akan memulihkan semula industri pelancongan dan membantu peniaga-peniaga yang telah lama menderita akibat ketiadaan pelancong. Sumber pendapatan peniaga di sana hanya dengan kehadiran pelancong.

Cuma kepada golongan yang kurang bernasib baik, mereka hanya mampu terkebil-kebil, bukan sebab cemburu melihat orang pergi bercuti, tetapi terkilan kerana masih tidak dapat pulang ke kampung sejak sekian lama.

Orang biasa tidak kisah sangat untuk melancong, mereka hanya mahu melepaskan rindu berjumpa ibu bapa di kampung terutama yang sudah uzur dan berusia lanjut. Begitu juga dengan golongan berada, mereka pun mempu­nyai kampung.

Ketika ini, kadar vaksinasi populasi dewasa yang di­sasarkan iaitu 80 peratus sudah hampir dicapai apabila tinggal tidak sampai 2 peratus lagi daripada penduduk untuk dilengkapkan.

Jadi, diharapkan kerajaan dapat merangka prosedur operasi standard (SOP) balik kampung untuk berjumpa ibu bapa pula. Sekarang, rakyat hanya tunggu lampu hijau kerajaan untuk pulang ke kampung mengikut SOP ditetapkan.

Jika perlu melakukan ujian saringan kendiri sebelum dan selepas balik kampung sekali pun pasti ramai yang setuju. Buatlah apa jua SOP walaupun ketat.