Risau PH menang, Pas gesa PN dan MN bersatu hadapi PRN Melaka

Risau PH menang, Pas gesa PN dan MN bersatu hadapi PRN Melaka

 

Meskipun tiga parti teras Melayu-Islam iaitu PAS, Umno dan Bersatu berbeza ideologi perjuangan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak sekata.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, Islam memberi panduan dalam al Quran supaya umat Islam bersatu padu antara satu sama dan tidak berpecah-belah.

Katanya umat Islam kena berpandu kepada ajaran Islam dan wajib bersatu dalam menghadapi apa juga keadaan.

“Kalau kita berpecah pastinya orang lain akan kuasai negara, ini semua orang tahu. Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 14 perlu menjadi pengajaran dan sepatutnya tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ‘Go Green’ kitar semula minyak masak terpakai peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti di sini hari ini.

Program yang dianjurkan Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (Kitabina) dengan kerjasama Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd itu turut dihadiri Pengurus Besarnya Mahadi Mokhtar.

Pada majlis KUM mengadakan pembelian, taklimat serta demostrasi mengenai manfaat kitar semula minyak masak terpakai kepada penduduk tempatan untuk dijadikan sabun dan bunga.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, PRU 14 perlu dijadikan pengajaran kepada pimpinan parti Melayu dan Islam yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya pernah menyuarakan mengenai penyatuan Melayu dan Islam di Dewan Undangan Negeri apabila semua wakil rakyat PAS dan Umno menyatakan sokongan kepada kerajaan,” katanya, seperti dipetik laporan Harakah.

Menurutnya juga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka kerjasama antara parti Melayu diperlukan bagi memastikan kelangsungan pakatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat dipertahankan.