Rogol dan liwat anak kandung, bapa ini dipenjara 32 tahun

Rogol dan liwat anak kandung, bapa ini dipenjara 32 tahun

Seorang lelaki dihukum penjara 32 tahun dan 22 sebatan setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol dan meliwat anak kandungnya.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan ke atas tertuduh yang berusia 50 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas mangsa yang berusia 15 tahun 1 bulan ketika kejadian.

Memetik laporan Astro Awani, perbuatan itu dilakukan pada 14 Ogos 2019 pukul 12 tengah hari di sebuah rumah di Hulu Terengganu.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa pukul 2 petang pada 26 November 2019 di lokasi yang sama.

Sementara tertuduh turut didapati bersalah atas kesalahan liwat yang didakwa dilakukan pada 26 November 2019 di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan liwat, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara berasingan manakala hukuman bagi kesalahan liwat berjalan serentak dengan pertuduhan kedua.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 2 Disember 2019.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.