Ronaldo ‘koyak’, hempas telefon peminat selepas tewas kepada Everton

Ronaldo ‘koyak’, hempas telefon peminat selepas tewas kepada Everton

CRISTIANO Ronaldo memohon maaf selepas dia kelihatan meremukkan telefon pintar seorang peminat susulan kekalahan 0-1 Manchester United kepada Everton di Goodison Park dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Gol terbias Anthony Gordon pada separuh masa pertama menyebabkan United mengalami kekalahan kedua berturut-turut di tempat lawan buat kali pertama sejak Januari 2020.

Ia merupakan tamparan besar kepada harapan The Red Devils untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan kemenangan Tottenham ke atas Aston Villa pada hari sama menyebabkan pasukan Ralf Rangnick kini ketinggalan enam mata daripada kelompok empat teratas.

Selepas wisel penamat, satu video muncul di media sosial yang mendakwa menunjukkan Ronaldo memecahkan telefon penyokong Everton dengan melemparkannya ke lantai.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu kemudiannya tampil di Instagram untuk menjelaskan tindakannya dan menawarkan untuk kembali bertemu peminat itu di Old Trafford “sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan”.

“Tidak mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang kita hadapi,” tulis Ronaldo.

“Namun begitu, kami perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada semua anak muda yang meminati permainan cantik itu.

“Saya ingin memohon maaf atas keterlaluan saya dan jika boleh, saya ingin menjemput penyokong itu untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan.”

United kini hanya menang dalam lapan daripada 17 perlawanan EPL di bawah kendalian Rangnick, dengan nisbah kemenangan 47 peratus pengurus Jerman itu adalah yang paling teruk di bawah mana-mana pengurus dalam pertandingan itu.