Ronaldo ‘tikam’ Solskjaer, pujuk United lantik Zidane

Ronaldo ‘tikam’ Solskjaer, pujuk United lantik Zidane

 

Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan menjadi ‘tali barut’ dalam usaha memujuk pihak pengurusan The Red Devils menandatangani khidmat bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane secepat mungkin, lapor Kosmo.

Sebagai rekod, pengurus Uni­ted ketika ini, Ole Gunnar Solskjaer berdepan tekanan selepas gagal membantu pasukan keluar dari kemelut prestasi termasuk tewas memalukan 2-4 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

Kehadiran Ronaldo yang ditandatangani daripada kelab Serie A, Juventus gagal memberikan impak yang diharapkan di atas padang dengan kesalahan itu dituding ke arah taktikal hambar yang diterapkan Solskjaer.

Difahamkan, Ronaldo masih memiliki hubungan yang cukup akrab dengan Zidane selepas membantu kelab The Galacticos menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah tiga kali berturut-turut bermula 2016 hingga 2018.

Namun, Zidane masih lagi berbelah bahagi sama ada mahu menerima tawaran United atau sebaliknya selepas tidak selesa berbincang dengan pihak pe­ngurusan tertinggi pasukan itu sebaliknya lebih berharap untuk menjadi pengendali skuad antarabangsa Perancis.

Ini kerana, Zidane mahukan cabaran baharu di peringkat antarabangsa berbanding mengemudi pasukan kelab meskipun khidmatnya turut mendapat perhatian dua lagi kelab sensasi Eropah, Newcastle United dan Paris Saint-Germain (PSG).

Buat masa ini, hanya seorang jurulatih yang begitu serius menunjukkan minat untuk membimbing The Red ­Devils iaitu bekas pengendali Inter Milan, Antonio Conte yang telah menolak tawaran Tottenham Hotspur dan Newcastle sebelum ini.