Rupanya telur India yang sama juga dieksport ke Qatar semasa FIFA ’22

Rupanya telur India yang sama juga dieksport ke Qatar semasa FIFA ’22

Syarikat dari India yang mengeksport telur ke Malaysia juga mengeksport telur ke Qatar semasa pertandingan bolasepak piala dunia, FIFA 2022 baru-baru ini.

Menurut The Times Of India (TOI), telur yang dieksport ke Malaysia datangnya dari daerah Namakkal, Tamil Nadu, selatan India.

Menurut media utama India itu, ini adalah pertama kali Namakkal mengeksport telur mereka ke Malaysia.

“Namakkal telah mengeksport telur ke negara Teluk sejak tahun 90an lagi, ini adalah pertama kali mereka mengeksport ke Malaysia,” lapor TOI.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia pula berkata, harga telur dari India lebih mahal sekarang berbanding telur tempatan kerana telur-telur itu dihantar menerusi kapal terbang untuk tempoh percubaan.

“Ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan telur di pasaran dengan segera.

“Selepas ini, telur-telur akan dihantar melalui kapal laut menggunakan kontena sejuk bagi memastikan kualiti telur tidak jatuh sepanjang perjalanan ke Malaysia,” kata sumber KPKM itu.

Menurut sumber itu, melalui pengangkutan laut, kos pengangkutan akan lebih murah dan membolehkan telur dari India akan dijual dengan harga yang kompetetif dengan telur tempatan.

Sebelum telur yang diimport dari India itu masuk ke pasaran Malaysia, ia akan diperiksa dahulu oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Ia dijalankan di pintu masuk negara ini secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara.

“Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi.

“Hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara,” kata kenyataan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).