Sajat bangga dapat tukar jantina, kerajaan tidak mampu buat apa-apa

Sajat bangga dapat tukar jantina, kerajaan tidak mampu buat apa-apa

USAHAWAN kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mengesahkan sudah menukar status jantinanya kepada wanita selepas lima bulan menetap di Australia.

Muhammad Sajjad atau lebih dikenali dengan nama Nur Sajat, 35, berkongsi kegembiraannya dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini.

“Saya gembira semuanya sudah selesai. Saya selesa kini menjadi seorang wanita.

“Negara ini (Australia) lebih memahami gender saya,” katanya.

Sajjad menjelaskan, dia sudah lama mengidamkan untuk menukar status jantina dalam dokumen pengenalan diri sejak berada di Malaysia lagi.

Dia turut meluahkan rasa bangga dengan diri sendiri dan mahu diterima secara baik oleh orang ramai.

“Kini saya rasa lebih bebas dan boleh jadi diri saya yang sebenar. Saya bangga dengan diri sendiri. Ini adalah saya, Nur Sajat, rasa seperti ‘dilahirkan’ semula.

“Saya memang mahu tukar status jantina, saya nak bahagia dan mahu orang terima saya,” katanya.

Bagaimanapun, Sajjad tidak berhasrat menukar namanya namun lebih selesa dan bangga dikenali dengan nama Nur Sajat.

“Saya bangga dengan nama Nur Sajat. Satu dunia kenal nama ini. Nama ini satu dalam sejuta tau,” katanya.

Selepas menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia dan melarikan diri ke Thailand, Sajjad memilih memulakan kehidupan baharu di Australia sejak Oktober tahun lalu kerana merasa tidak selamat tinggal di Malaysia.