Sajat guna taktik berpurdah untuk lari dari Malaysia, akhirnya ditahan
Usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat dilaporkan telah ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu bersama seorang lelaki yang berperwatakan seperti wanita warga Thailand di sebuah kondominium mewah di Bangkok.
Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia.
Lapor Harian Metro, Sajat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand dan akan didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen.
Walau bagaimanapun, usahawan kosmetik berkenaan dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan sebanyak AS$2,000 (RM8,343) dan diikat jamin oleh kenalannya dikenali sebagai Misha. Sajat dikatakan perlu hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari.
Kini, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa Sajat pulang ke Malaysia. Ianya agak sukar kerana melibatkan campur tangan pihak antarabangsa serta pertubuhan tertentu yang menghalangnya.
Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada 2018 itu sedang berlangsung.
Pemilik nama Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dipercayai memakai purdah dan niqab sebagai taktik untuk meloloskan diri ke Thailand yang dibantu oleh seorang lelaki.
Nur Sajat yang ketika itu sedang bersembunyi di Lembah Klang mula mencari jalan untuk keluar ke negara ini. Dia kemudiannya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mahir dengan selok-belok di kawasan sempadan sebelum bersetuju membayar RM20,000 sehingga selamat tiba di Bangkok.
Lelaki ini dipercayai mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Siasatan lanjut sedang dilakukan.
Sajat dipercayai dibawa dengan menaiki sebuah kenderaan dari Lembah Klang ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis.
Sebaik tiba di Padang Besar, Nur Sajat dimasukkan ke gerabak kereta api barang sebelum lolos ke Padang Besar, Thailand bersama lelaki terbabit.
Lelaki sama kemudiannya membawa Nur Sajat ke Hat Yai, Thailand. Dia (Nur Sajat) kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang membawanya hinggalah ke Bangkok, Thailand.
Difahamkan Sajat dan lelaki berkenaan berjaya melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).