Sanusi ditempelak isu Pulau Pinang, macam orang gila!

Sanusi ditempelak isu Pulau Pinang, macam orang gila!

 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyarankan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggunakan saluran mahkamah sekiranya ingin mengambil Pulau Pinang.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata ini kerana dakwaan Muhammad Sanusi kononnya Pulau Pinang adalah milik Kedah membuatkan orang ramai marah.

“Saya percaya beliau cuba bermain isu murahan seperti ini untuk membangkitkan isu perkauman dan cuba menjadi relevan.

“Andainya benar beliau ingin mengambil Pulau Pinang, pergilah menggunakan saluran mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, tindakan dilakukan Muhammad Sanusi itu jelas menghina institusi raja dan Perlembagaan negara, malah sikap itu tidak menggambarkan sifat orang Kedah.

“Sudah ada beberapa sarjana yang menulis mengenai sejarah Kedah dan Pulau Pinang.

“Saya sarankan beliau mempelajari sejarah dan tidak bercakap seperti orang gila,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata beliau sedia ke mahkamah berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Malah, beliau juga sedia disiasat berhubung dakwaan itu kerana mendakwa mempunyai banyak sandaran (bukti) mengenainya.