“Saya nak curi tali je, tak tahu kambing ikut sekali di belakang”

“Saya nak curi tali je, tak tahu kambing ikut sekali di belakang”

Kecoh video yang memaparkan seorang lelaki didakwa mencuri seekor kambing ditangkap oleh pihak polis.

Menerusi video yang tular di Twitter dan Instagram, lelaki tersebut dilihat telah digari dan berada di dalam sebuah kereta polis.

Tribun Medan melaporkan, semasa disoal siasat oleh polis, lelaki tersebut memberikan jawapan yang tidak masuk akal dan melucukan.

Menurutnya, dia pada mulanya hanya mahu mengambil tali yang diikat pada kambing dan tidak berniat untuk mencuri haiwan itu.

Tetapi setelah tali sepanjang tiga meter itu ditarik, rupa-rupanya ada seekor kambing yang diikat padanya.

“Saya baru sahaja nak mencuri tali itu tuan (polis) tetapi seekor kambing terikat padanya,” katanya.

“Itu namanya mencuri kambing,” jerit seorang polis.

Bagaimanapun, lelaki itu meneruskan ‘hujahnya’ dan berkata bahawa dia tidak berasa seperti mencuri kambing tetapi hanya mencuri tali.

“Saya tidak tahu ada kambing di hujungnya,” dakwanya.

Pun begitu, maklumat lanjut mengenai bagaimana lelaki itu ditangkap dan di mana kejadian itu berlaku tidak dinyatakan.