Sedih! Suami lari masuk hutan sebab merajuk dengan isteri

Sedih! Suami lari masuk hutan sebab merajuk dengan isteri

 

Dipercayai akibat merajuk kerana tidak dapat berjumpa anak dan bergaduh dengan isterinya, seorang lelaki Orang Asli bertindak melarikan diri ke dalam hutan dekat Kampung Kundang, Muadzam Shah di sini kelmarin.

Difahamkan Zali Yasa,19, menghadapi masalah rumahtangga sejak beberapa bulan lalu sehingga memaksa campur tangan keluarga tetapi masalah itu masih berlarutan sehingga kini.

Mangsa yang terlalu rindu kepada anaknya dikatakan cuba berjumpa dengan anaknya tetapi dihalang oleh isterinya menyebabkan dia berasa kecewa dan meninggalkan motosikal di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam hutan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, operasi mencari lelaki berkenaan ditumpukan di kawasan hutan berhampiran kawasan motosikal yang ditinggalkan mangsa tidak jauh dari rumah keluarga isterinya.

“Kawasan hutan yang dipercayai tempat lelaki berkenaan hilang tidak terlalu luas sebaliknya dikelilingi ladang kelapa sawit dan hutan yang telah diteroka.

“Operasi mencari lelaki berkenaan kini giat dilakukan kira-kira 20 anggota polis balai polis Muadzam Shah bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muadzam Shah serta Kuantan selain dibantu 25 penduduk Orang Asli,” katanya hari ini, lapor Kosmo.

Tambahnya, Unit K9 JBPM juga akan tiba petang ini bagi mengesan lelaki berkenaan di sekitar kawasan hutan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal punca lelaki berkenaan menghilangkan diri adalah kerana masalah rumah tangga dengan isterinya.

“Ini kes keempat operasi mencari orang hilang dilakukan sepanjang tahun ini dan kes pertama membabitkan Orang Asli menghilangkan diri dalam hutan di daerah ini,” ujarnya.