Sedihnya! Wanita ini meninggal dunia selepas 24 jam bernikah
Bagai sudah tertulis, seorang lelaki yang baru bergelar suami terpaksa menerima hakikat yang dia telah kehilangan isterinya yang meninggal dunia tidak sampai sehari selepas melangsungkan pernikahan.
Kisah duka tersebut dikongsikan seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Amaleng Husni yang difahamkan adalah dua pupu kepada isterinya.
Amalang menerusi hantaran sama turut berkongsi dipercayai dirinya bersama pasangan berkenaan iaitu Mohamad Amirul Akmal Aziz dan arwah isterinya, Allahyarhaman Siti Saraf di atas pelamin.
Semalam baru akad nikah hari ini Allah dah dah jemput arwah
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun Al-Fatihah buat dua pupu Siti Saraf. Semalam baru akad nikah harini Allah dah jemput arwah ” tulisnya ringkas.
Menerusi laporan Sinar Harian, Mohd Amirul Akmal menjelaskan dia telah dikejutkan isterinya pada jam 3 pagi memaklumkan dia mengalami sakit kepala. Namun tidak lama kemudiannya dia tidur semula sambil ditemani Akmal disisinya.
Namun pada waktu pagi dia dan keluarga dikejutkan apabila melihat arwah mengalami sesak nafas.
“Saya segera hubungi ambulans kerana pada ketika itu isteri sangat memerlukan bantuan oksigen dan ambulans tiba jam 12 tengah hari.
“Bagaimanapun, isteri disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari oleh doktor yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Lebih menyedihkan, ayat terakhir yang terpacul dimulut isterinya ialah : “Abang…kita dah kahwin”
Tambahnya lagi hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati isterinya itu meninggal dunia akibat pendarahan di dalam otak sebelah kanan.
Difahamkan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang pada Ahad.
Akmal menerusi satu hantaran di Faceboknya sebelum itu, telah berkongsi kepada orang ramai memaklumkan yang beliau baru sahaja melangsungkan perkahwinan secara tertutup dengan Siti Saraf yang juga seorang pegawai JPJ di Putrajaya iaitu pada 23 Oktober lalu di Masjid Mukim Binjai Baru, Kota Bharu Kelantan.
Menjengah ke Facebook arwah, kenalan dan keluarga dlihat mengambil kesempatan menzahirkan rasa takziah diatas pemergian arwah yang mengejutkan.