‘Segala kehendak Dong Zong dilayan, kita pula macam anjing menyalak bukit’

‘Segala kehendak Dong Zong dilayan, kita pula macam anjing menyalak bukit’

Kerajaan sering kali menyeru kepada perpaduan rakyat, namun kerajaan juga yang menjadi punca utama rakyat semakin terpisah.

Jelas sekali antara faktor utama rakyat tidak bersatu padu adalah berpunca daripada aspek pendidikan yang berlarutan sejak sekian lama.

Para pelajar sejak kecil sudah dibiar dalam suasana yang dipisah-pisahkan melalui jenis sekolah yang berbeza – sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Penyelidik sejarah Melayu, Zaharah Sulaiman mendakwa, situasi ini berlaku kerana kerajaan lebih memilih untuk ‘melayan’ kehendak pemain politik yang mempunyai agenda masing-masing, tanpa menghiraukan kehendak rakyat.

Walhal, beliau berkata, jika dilihat pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam Akta Pendidikan 1966, terdapat peruntukan yang memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk menutup atau memansuhkan SJKC dan SJKT.

Namun, malangnya pada tahun 1996, Menteri Pelajaran ketika itu telah membatalkan peruntukan tersebut atas sebab-sebab tertentu.

“Kemungkinan besar atas sebab politik. Ramai cerdik pandai, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, Datuk Abdul Raof Hussin merayu kepada kerajaan supaya ia tidak dibatalkan. 

“Dari situ pun kita nampak dah kegagalan kerajaan di mana tak ambil iktibar akan sejarah. Malah, lagi dipermudahkan bagi SJKC untuk berkembang, dengan membatalkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1966 itu,” katanya dalam wawancara PEMBELA, bertajuk ‘UEC, Jangan Gadai Maruah Negara & Identiti Nasional, yang diadakan secara maya, malam ini. 

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, sehingga ke hari ini pun kerajaan meluluskan segala kehendak mereka hingga menggoyahkan sistem pendidikan kebangsaan. 

“Tambah sekolah. Tambah bantuan. Ini yang menyulitkan lagi permintaan rakyat. Kerajaan tidak ada keprihatinan langsung, bahkan kita lihat kerajaan tiada niat untuk menghalang SJKC daripada berterusan, menghalang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf. 

“Kita tak nampak satu jalan pun. Tahun demi tahun, permintaan dari rakyat, NGO makin bertambah sukar untuk dipertimbang oleh kerajaan. Kerajaan dah memihak kepada mereka terlampau dalam,” katanya.

Zaharah berkata, semenjak bangsa Cina dan India menjejak ke tanah air ini, tiada satu pun identiti mereka digugat oleh penduduk tempatan, malah diangkat-angkat.

“Itu pun mereka enggan beralah, tak nampak keikhlasan mereka. Apa sahaja yang kita ajukan, mereka anggap budaya, bahasa mereka disentuh.

“Mereka amat curiga dan sangsi kepada semua usaha kerajaan. Mereka dah bina tembok. Kita pula macam anjing menyalak bukit,” dakwanya.

Kesal dengan keadaan itu, beliau menyifatkan keangkuhan dan pemikiran etnosentrik puak inilah yang sebenarnya akan menghuru-harakan negara. 

Dakwanya, pemain politik Cina mempunyai kuasa mendesak yang sangat kuat, mereka menjadi pendekar dalam memperjuangkan kelancaran UEC atau SJKC, dengan kata lain memadamkan terus sekolah kebangsaan.

“Kemungkinan besar kalau dibiarkan lagi, rakyat akan menentang dengan lebih serius. Walhal, kita tak hendak orang buat rally. 

“Seharusnya mereka sedar. Kerajaan dah beri bantuan macam-macam masih lagi mereka tak mahu berganjak daripada kedudukan mereka. 

“Kalau disatukan semua sekolah dalam satu agenda, kita dapat mempertingkatkan semua sekolah. Kerajaan selalu menyarankan untuk perpaduan, tetapi kerajaan yang buat pemisahan itu sendiri,” dakwanya, lapor Ismaweb.net.