Sejarah tercipta, kerajaan dan Pakatan Harapan meterai perjanjian persefahaman

Sejarah tercipta, kerajaan dan Pakatan Harapan meterai perjanjian persefahaman

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perjanjian itu ditandatangani antara wakil kerajaan dan PH bangunan Parlimen petang ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU yang juga disebuat sebagai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah supaya semua pihak membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap.

Beliau berkata, memorandum persefahaman merangkumi bidang berikut:

  • Pemerkasaan Pelan Covid-19;
  • Transformasi Pentadbiran;
  • Pembaharuan Parlimen;
  • Kebebasan Institusi Kehakiman;
  • Perjanjian Malaysia MA63; dan
  • Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ismail Sabri berkata, Seri Paduka juga bertitah supaya semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

 

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.